MENARIK DIRI SEBAGAI PENJAMIN KEPADA TERTUDUH

Assalamualaikum,

Lama tidak kemaskini blog ini. Terima kasih kepada pembaca yang telah menghantar komen dan emel dan maaf kerana sudah terlalu banyak komen dan emel yang tidak terbalas atau disiarkan atas keterbatasan masa dan ruang terutama dalam menghadapi wabak COVID19 ini. Saya doakan semoga semua pembaca blog ini sentiasa sihat sejahtera dan dalam perlindungan Allah SWT.

Berbalik kepada posting hari ini, iaitu menarik diri sebagai penjamin kepada tertuduh.

Ini antara soalan yang paling popular di kalangan pembaca blog ini.

Sebenarnya, seseorang penjamin kepada tertuduh yang dituduh melakukan kes jenayah boleh menarik diri daripada terus menjamin tertuduh di Mahkamah.

Perkara ini disebutkan dalam seksyen 393 Kanun Prosedur Jenayah. Peruntukan seksyen itu dalam versi Bahasa Inggeris adalah seperti di bawah.

 

Apabila penjamin menarik diri sebagai penjamin dan dibenarkan oleh Mahkamah, kesannya ialah bon jaminan tertuduh adalah terbatal dan tertuduh perlu mencari penjamin baharu untuk diproses di Mahkamah. Jikalau tertuduh gagal mendapatkan penjamin baharu, maka dia akan ditahan reman di dalam penjara sehingga jaminan baharu diproses dengan sempurna.

Permohonan menarik diri ini boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja oleh penjamin itu sendiri, walaupun cara yang paling terbaik ialah pada tarikh sebutan semula kes di Mahkamah kerana pada masa itu tertuduh juga hadir di Mahkamah, maka mudahlah urusannya kerana tidak perlulah Hakim atau Majistret memberikan tarikh baru untuk kehadiran tertuduh sekiranya permohonan dibuat di luar tarikh sebutan semula atau perbicaraan kes.

Walau bagaimanapun, tiada halangan jika penjamin ingin membuat permohonan lebih awal, namun ia tertakluk kepada jadual Majistret atau Hakim itu sendiri sekiranya ingin mendengar permohonan tersebut secara terus. Ini kerana dalam sehari Hakim dan Majistret juga sibuk menguruskan kes-kes lain terutama kes yang telah dijadualkan lebih awal.

Dan untuk membuat permohonan di luar tarikh sebutan/perbicaraan itu adalah dinasihatkan agar penjamin menulis surat rasmi kepada Mahkamah dan sebaiknya hantar sendiri secara tangan di kaunter Mahkamah.

Jika anda tiada masa untuk ke Mahkamah, hantaran secara pos, faks atau emel juga dibenarkan dengan syarat anda tahu kepada siapa penerima yang sebenarnya anda ingin hantarkan surat tersebut. 

Dan sebagai nota, perkhidmatan faksimili di seluruh Mahkamah Malaysia akan ditamatkan mulai tahun 2021 dan Mahkamah akan menggunakan sepenuhnya penggunaan teknologi bagi urusan rasmi termasuklah menggunakan emel rasmi.

Bagaimana pula bentuk atau format surat itu? 

Haa... Bakalpeguam dah sediakan template ini siap-siap, anda hanya perlu ubah bahagian yang bertanda kurungan ( ) atau menambah apa jua maklumat yang anda rasakan perlu dimasukkan.

Boleh download terus sampel surat ini di SINI.

Bakalpeguam nasihatkan sekiranya anda menghantar surat ini secara serahan tangan, buatlah dalam 2 salinan dan setelah diserahkan di kaunter Mahkamah, mintalah petugas kaunter untuk meletakkan cop terima pada kedua-dua salinan surat ini dan kemudian satu salinan diserahkan kepada Mahkamah dan satu salinan lagi untuk simpanan tuan/puan pembaca yang budiman.

Mahkamah akan tetapkan tarikh sebutan semula kes untuk urusan ini dan anda mesti hadir sendiri di hadapan Hakim/Majistret yang berkenaan untuk urusan menarik diri ini.

Selepas Mahkamah benarkan permohonan tuan/puan, maka anda secara rasmi sudah berhenti dari menjadi penjamin kepada tertuduh dan sekiranya wang jaminan adalah milik anda, ia akan dikembalikan semula kepada anda secara pindahan masuk secara elektronik ke akaun bank yang tuan/puan berikan semasa memberikan jaminan tersebut.

Harap posting ini membantu. Dan akhir sekali, anda tidak perlu peguam pun untuk urusan ini kerana ia boleh dibuat sendiri.

Wassalam.

Ulasan

  1. Boleh saya tahu kepada siapa surat harus dihantar

    BalasPadam
  2. Boleh saya tahu kepada siapa surat harus dihantar

    BalasPadam
  3. Assallammualaikum.macam mana si perhutang meninggal dunia? Boleh tak penjamin menarik diri?

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN