PEMAIN INDUSTRI DALAM SISTEM KEADILAN JENAYAH

Dalam sistem keadilan jenayah Malaysia, orang-orang inilah yang memainkan peranan penting dalam memastikan undang-undang jenayah ditegakkan seadil-adilnya. Industry player ini adalah seperti berikut:

1. Orang Yang Disyaki (OYDS)
Sumber gambar di SINI
Orang ini ialah mereka yang diadukan oleh seseorang pengadu bahawa telah disyaki melakukan sesuatu jenayah (suspek). Maka, polis akan menangkap orang ini dan akan menahannya di lokap untuk siasatan. Sekiranya siasatan tidak dapat selesai dalam tempoh 24 jam, OYDS ini perlu dibawa ke hadapan Majistret untuk mendapat perintah tahanan reman bagi melengkapkan siasatan. Selesai saja siasatan, samada OYDS akan dituduh di Mahkamah atau dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan Timbalan Pendakwaraya.

2. Pengadu/Saksi
Sumber gambar di SINI
Pengadu ialah orang yang mengadu terhadap kejadian jenayah. Tidak semestinya pengadu ini ialah mangsa jenayah, walaupun sepatutnya mangsa jenayah yang menjadi pengadu. Sebagai contoh, kes rogol kanak-kanak. Kanak-kanak tak tahu macamana buat report polis walaupun dia adalah mangsa jenayah. Maka, ibu bapa, penjaga atau mana-mana orang yang tahu akan perlakuan jenayah itu bolehlah membuat laporan polis dan mangsa juga secara automatik akan menjadi saksi dalam kes ini. Laporan ini juga dikenali sebagai laporan maklumat pertama atau First Information Report.

3. Pegawai Serbuan/Tangkapan (RO)
Sumber gambar di SINI
Nama pun pegawai serbuan/tangkapan, maka orang ini yang selalunya anggota polis (bagi kes jenayah am) akan membuat serbuan dan tangkapan. Kebiasaannya anggota ini adalah dikalangan anggota detektif yang selalunya berpakaian preman.

4. Pegawai Penyiasat (IO)
Sumber gambar di SINI
Inilah orangnya yang akan menyiasat kes jenayah. Dalam siasatannya beliau akan mendapatkan semua keterangan dan bukti yang perlu bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya bagi arahan selanjutnya. Pegawai Penyiasat ialah pegawai polis berpangkat Inspektor ke atas manakala beliau akan dibantu oleh seorang Penolong Pegawai Penyiasat (AIO) yang berpangkat Sarjan ke atas.

5. Orang Kena Tuduh (OKT)
Sumber gambar di SINI
Ha, inilah dia OYDS yang pergi ke proses selanjutnya, iaitu pertuduhan di Mahkamah, sebab itu dia dikenali sebagai Orang Kena Tuduh. Pertuduhan di Mahkamah adalah langkah terakhir dalam siasatan IO dan secara rasmi kes telah menjadi kes Mahkamah.

6. Timbalan Pendakwaraya (TPR/DPP)
Ini pakaian DPP bila berdepan dengan Hakim Mahkamah Tinggi dalam Mahkamah Terbuka. Sumber gambar di SINI
Inilah orangnya yang paling berkuasa dalam sistem keadilan jenayah. Kenapa? Sebab DPP lah yang menentukan samada seseorang OYDS itu dituduh di Mahkamah atau tidak. Selagi beliau tidak memberikan kebenaran atau sanksi untuk mendakwa, maka pendakwaan tidak boleh dijalankan di mana-mana Mahkamah sekalipun. Malah, beliau ini juga boleh mengarahkan agar kertas siasatan itu ditutup (No Further Action/NFA) atau hantar semula kertas siasatan untuk dilengkapkan lagi. Lagi power, DPP juga boleh mengarahkan agar pertuduhan di Mahkamah itu ditarik balik. Anda ingat kes Lim Guan Eng? Haaa, itu adalah atas arahan DPP untuk menarik balik pertuduhan rasuah ke atas beliau. Lagi hebat, atas sebab penarikan balik pertuduhan itu, beliau terus dilepas dan dibebaskan (Acquitted and Discharged), jadi beliau tidak boleh lagi dituduh atas kesalahan yang sama sampai bila-bila. Power kan DPP ni. Oh, by the way, DPP adalah Timbalan Pendakwaraya, bosnya adalah Pendakwaraya (PP) iaitu Peguam Negara. Dia inilah yang paling power dikalangan DPP ini semua. Dan selain DPP, pihak pendakwaan di Mahkamah juga boleh diwakili oleh pegawai polis/agensi kerajaan yang diberikan kuasa oleh PP/DPP dikenali sebagai Pegawai Pendakwa. Bukan Pegawai Pendakwah ya.

7. Hakim/Majistret
Sumber gambar di SINI
Semua orang kenal hakim/majistret ini. Mereka inilah yang bertugas di Mahkamah, yang duduk di atas meja tinggi (dikenali sebagai Bench) di dalam Mahkamah. Hakim/majistret inilah yang akan mengadili sesuatu pertuduhan yang dibawa ke Mahkamahnya, mendengar keterangan saksi, menimbangkan keterangan itu selaras dengan peruntukan undang-undang dan membuat keputusan. Kalau OKT didapati bersalah dan sabit kesalahan, hukuman hendaklah dijatuhkan mengikut undang-undang juga. Kalau didapati tidak bersalah, OKT hendaklah dilepas dan dibebaskan. Selain itu, OKT juga boleh terus mengaku salah terhadap pertuduhan dan boleh dijatuhkan hukuman tanpa melalui proses perbicaraan, ini dikenali sebagai Bicara Terus atau Summary Trial. Ramai yang ingin tahu sebenarnya selain membicarakan kes, apa lagi yang Hakim/Majistret ini buat, terutama apabila tiada kes bicara? Jawapannya ialah mereka sibuk dengan menulis alasan penghakiman. Bukan senang tau menulis alasan penghakiman. Ia memerlukan tempoh waktu yang panjang serta kajian kes yang mendalam sebelum sesuatu alasan penghakiman dapat disiapkan dan diterbitkan bagi tujuan rayuan di Mahkamah Atasan. 

Fakta menarik ialah Hakim/Majistret di Malaysia tidak lagi memakai wig atau rambut palsu tu ya. Mahkamah Hong Kong saja yang masih memakainya.

8. Peguambela/Lawyer
Sumber gambar di SINI
Ini pun seorang yang popular di kalangan orang awam, tapi tidak di kalangan OKT, kerana tidak semua OKT mampu untuk mengupah peguam untuk membela mereka di Mahkamah. Peguambela ini selalunya mereka yang beramal secara persendirian/swasta dan bukannya dibayar oleh kerajaan, kecuali peguambela yang dilantik oleh Mahkamah bagi kes-kes yang membawa hukuman mati. Kalau kes gantung seperti kes bunuh, mengedar dadah, merompak dengan senjatapi, menculik dengan maksud minta wang tebusan dan lain-lain, kalau OKT tidak mampu mengupah peguam, Mahkamah akan lantik seorang peguam mewakili OKT dan upahnya akan dibayar oleh kerajaan. Selain itu ada juga skim Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagi kes jenayah, terutamanya bagi permohonan ikat jamin dan merayu bagi meringankan hukuman/hujahan mitigasi. Ada juga peguambela YBGK bagi kes bicara, tapi sangatlah jarang kerana diberitahu upahnya agak sedikit. Ada juga peguambela yang menjalankan kes secara percuma atau Pro Bono, tetapi ini pun agak jarang kedengaran sekarang.

Fakta menarik: lawyer mahal tidak semestinya bagus, tapi mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam berurusan dengan sistem keadilan negara berbanding lawyer baru.

9. Pegawai Penjara
Sumber gambar di SINI. Abaikan mamat pakai baju purple ini.
Rasanya inilah orang terakhir yang OKT akan jumpa selepas berjumpa polis, DPP, peguambela (jika ada) dan Hakim/Majistret. Nama pun penjara, maka inilah tempat tahanan bagi pesalah-pesalah yang dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah. Selain menguatkuasakan perintah tahanan/kurungan, mereka juga akan menjalankan hukuman sebatan jikalau Mahkamah memberikan perintah sebatan. Selain itu, mereka juga yang akan menjalankan tugas sebagai Pegawai Parol jikalau seseorang banduan layak diberikan parol. Dan mereka jugalah yang akan memantau pelaksanaan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) iaitu satu jenis hukuman berbentuk khidmat masyarakat yang menggantikan hukuman penjara. Insya Allah, lain kali kita akan bahas tentang PKW ini.

Kalau ada player yang tertinggal atau ada maklumat yang salah atau tertinggal, bolehlah maklumkan saya di ruangan komen.

Wassalam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN