AMARAN BUAT PEMINJAM WANG BERLESEN

Assalamualaikum,

Ini amaran buat para peminjam wang berlesen atau Along.

Jangan ganggu atau memeras ugut peminjam-peminjam anda. Sudahlah anda mengenakan caj dan faedah yang tidak masuk akal, anda pula selalu mengambil tindakan sesuka hati dengan membelakangkan undang-undang negara.

Walhal, anda boleh saja ke Mahkamah Sivil untuk menuntut semula hutang daripada peminjam.

Bukan dengan cara menyimbah cat, mengugut peminjam atau keluarga mereka, hingga sampai memukul peminjam. Ini perlakuan orang yang tiada akal sebenarnya.

Negara kita ada satu undang-undang yang melindungi peminjam yang dinamakan sebagai AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951 (AKTA 400) atau Bahasa Inggerisnya MONEYLENDERS ACT 1951.


Di bawah Seksyen 29B Akta ini, secara ringkasnya mana-mana peminjam wang, samada secara sendiri atau melalui ejen, yang mengganggu atau mengugut peminjam atau ahli keluarganya atau memantau tempat kediaman serta premis perniagaannya adalah melakukan kesalahan yang jika disabitkan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kali kedua bolehlah ditambah dengan hukuman sebat rotan. Hukuman ini adalah ke atas Along iaitu taukeh atau pemilik lesen peminjam wang itu sendiri.

Bagi ejen yang bertindak bagi pihak Along pula yang melakukan kesalahan di atas atau cuba melakukan kesalahan itu adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Seterusnya, mana-mana orang, semasa melakukan atau cuba melakukan kesalahan di atas hingga menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang pula, hendaklah dipenjara tidak lebih 2 tahun dan dengan sebatan.

Semoga Akta ini melindungi semua peminjam wang di negara kita dan diharapkan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lebih tegas dan serius dalam menguatkuasakan undang-undang ini agar dapat dijadikan pengajaran kepada semua Along-Along di Malaysia.

Wassalam.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN