KENAPA SETIAP HUKUMAN BERBEZA?

Ada orang bertanya kepada saya:

"Kenapa dalam kes jenayah, setiap hukuman berbeza walaupun kesalahan dilakukan sama? Kadang-kadang kes yang serius dapat hukuman ringan, tapi kes yang nampak ringan dapat hukuman berat?"

Sangat bagus soalan itu.

Perbezaan dalam menjatuhkan hukuman adalah perkara biasa. Ia berlaku di serata dunia hatta di dalam kawasan yang sama di mana terdapat lebih dari 2 mahkamah pun, hukuman yang dijatuhkan tetap wujud perbezaan. 

Walaupun nampak berbeza, namun selagi ia masih dalam ruang lingkup peruntukan undang-undang, ia tidak salah dan masih sah.

Banyak faktor yang perlu diambil dalam menjatuhkan hukuman. Oleh kerana kes jenayah ini adalah kes terhadap negara (state), maka kepentingan orang awam secara keseluruhan harus diambil. Kata orang politik, kepentingan rakyat!

Kes jenayah selalu mendatangkan ketakutan, kegusaran dan kegemparan dikalangan orang awam. Contohnya kes ragut. Mangsa ragut mungkin seorang individu, tetapi dia juga seorang orang awam atau orang kebanyakan yang perlu dilindungi. Bukan saja mangsa ragut perlu dilindungi, malah peragut itu juga perlu dilindungi daripada dipukul, disepak, diterajang, malah dibunuh akibat perbuatannya. Sebab itu kes jenayah adalah kepentingan negara dan semua pihak perlu dilindungi. Jika tidak, seseorang atau ramai orang, samada mangsa atau penjenayah akan menemui ajal pada bila-bila masa dan ia pasti mendatangkan keresahan kepada semua orang.

Pagi ini saya berkesempatan mendengar 2 kes yang mengakibatkan penjenayah menerima hukuman penjara yang juga nampak berbeza walaupun jenayahnya tampak hampir sama. Saya huraikan kes-kes itu begini:

A, telah dituduh dengan perbuatan khianat iaitu dengan menendang kereta isterinya sehingga kemek disebabkan pergaduhan yang tercetus antara mereka. Dia dijatuhi hukuman penjara 5 bulan mulai hari ini. Pertuduhan adalah di bawah seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau dengan denda atau keduanya.

B, telah dituduh dengan perbuatan khianat iaitu dengan merosakkan pondok pengawal keselamatan akibat pergaduhan dengan pengawal-pengawal keselamatan di situ. Dia dijatuhi hukuman penjara selama 3 bulan mulai hari ini. Pertuduhan adalah di bawah seksyen 426 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 3 bulan atau dengan denda atau keduanya.

Kanun Keseksaan

Kenapakah hukumannya berbeza?

Pertama, kerana bagi kes yang pertama itu peruntukan hukuman yang disediakan adalah lebih berat berbanding kes kedua, maka ia adalah lebih serius berbanding yang pertama.

Kedua, kes A itu melibatkan keganasan rumahtangga, kalau baca dari laporan isterinya, memang kesian. Jadi adalah wajar untuk simpan dia lama sedikit dalam penjara supaya dia insaf (harapan kita begitulah). Itu pun atas dasar simpati dia dikenakan 5 bulan. Ikutkan hati mahu saja bagi 1 tahun terus, tapi tidak boleh ikutkan hati, nanti mati. Baik ikutkan akal, jadilah kita orang bijak.

Kes kedua itu pula tidak dinyatakan dalam laporan bagaimana mereka rosakkan pondok pengawal itu, namun yang pasti tidaklah sampai pondok itu roboh pula. Mungkin mereka sepak-sepak atau apa-apalah sebab pertuduhan di bawah seksyen 426 itu adalah yang menyebabkan kerugian tidak lebih RM25. Kalau kadar kerosakan itu lebih RM25 maka ia jatuh di bawah seksyen 427 pula.

Jadi, sebelum kita menuduh melulu kenapa mahkamah itu tidak adil, mahkamah ini berat sebelah, kenapa dia dapat ringan, di sana dapat berat, kena dapatkan dulu fakta sebenar dan alasan penghakiman mahkamah. 

Kecualilah kalau kes itu yang melibatkan persepsi awam seperti kes kad pengenalan palsu baru-baru ini. Klik di SINI. Yang ini saya sendiri tidak bersetuju kerana ia melibatkan kedaulatan negara dan kepercayaan rakyat serta orang asing pada kad pengenalan kita sendiri. Tanpa hukuman yang berat, ia tidak dapat dijadikan pengajaran kepada bukan sahaja orang asing, malah kepada warga kita sendiri. Sebab itu saya tegaskan agar pihak pendakwaan merayu keputusan berkenaan.

Harap saya sudah menjawab persoalan di atas tadi.

Entri ini telah siap ditaip pada 31.12.2013, namun hanya dikeluarkan pada hari ini atas sebab-sebab tertentu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN