PENDAPATAN SEBAGAI YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH

Assalamualaikum,

Subhanallah, sudah terlalu lama blog ini tidak dikemaskini atas sebab kesibukan tugas dan keluarga. Maaflah buat para pelawat dan pembaca blog ini terutama yang banyak bertanyakan soalan dan tidak dapat dijawab atas sebab saya sebutkan tadi. Insya Allah, saya akan cuba sebaik mungkin untuk jawab soalan yang mana berkesempatan. Selebihnya, saya nasihatkan agar tuan/puan berjumpa sendiri dengan peguam yang bertauliah.

Berbalik kepada topik hari ini. Maklumlah, kos sara hidup rakyat amat menjadi perhatian pada masa kini. Dengan kadar inflasi yang mencanak naik, kos barangan di pasaran meningkat, diburukkan lagi dengan pemansuhan subsidi. Tahun 2025 kelak akan menjadi tahun yang mencabar buat kita semua rakyat marhaen. Bagaimana pula kesannya terhadap pemimpin-pemimpin yang kita kasihi? Adakah mereka juga akan terkesan? Disebalik gaji kita yang rendah serta para pemimpin 'menyuruh' kita berjimat cermat dan berbelanja secara berhemat, bagaimana pula dengan kadar gaji dan pendapatan bulanan mereka?

Saya tidak ingin membicarakan soal Sultan/Raja/YDPN negeri lain. Kita fokus di Sabah saja, okay?


Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Haji Juhar bin Haji Mahiruddin

Umum mengetahui Ketua Negeri ini ialah Tuan Yang Terutama (TYT) Yang DiPertua Negeri (YDPN) Sabah. Pada masa artikel ini ditulis, jawatan YDPN disandang oleh Tun Juhar bin Haji Mahiruddin selaku YDPN ke-10.

Tidak seperti negeri yang mempunyai Sultan atau Raja, jawatan YDPN ini bukanlah jawatan yang diwarisi oleh sesebuah keluarga secara turun temurun. Jawatan YDPN dilantik oleh Yang DiPertuan Agong atas budibicara Baginda setelah berunding dengan Ketua Menteri (lihat Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah [PNS]). Sesiapa sahaja selain yang bukan rakyat tempatan atau yang memperoleh kewarganegaraan melalui naturalisasi (seperti sesetengah pemain-pemain bolasepak negara ini) layak dilantik sebagai YDPN (lihat Perkara 2 PNS). Dan peruntukan mengenai saraan YDPN ini disediakan dalam Enakmen Peruntukan DiRaja 1963 (Civil List Enactment 1963) [lihat Perkara 3 PNS].

Begitulah undang-undang, kan. Banyak sangat nama enakmen dan rujukan seksyennya.

Berbalik kepada Enakmen Peruntukan DiRaja 1963 (EPDR). Jangan risau, walaupun namanya ada perkataan DiRaja, Sabah ini tidak ditadbir oleh keluarga atau kerabat diraja, ya.

Dan mengikut kehendak Perkara 2 (2) PNS, YDPN tidak boleh memegang jawatan yang bersifat keuntungan dan tidak boleh mengambil bahagian aktif dalam mana-mana perusahaan komersial. Ini bermaksud, YDPN ditegah daripada mendapatkan sumber pendapatan lain selain dari saraan yang disediakan oleh EPDR.

EPDR ini mempunyai 8 seksyen saja. Ia undang-undang yang ringkas tapi amat bermakna kerana ia secara jelas menggariskan berapa peruntukan diraja yang layak diterima oleh YDPN. 

Berikut adalah senarainya seperti dalam jadual kepada Seksyen 2 EPDR (sepertimana yang telah dipinda pada tahun 2022):

Sumber: Laman Web Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah

Perinciannya seperti berikut:

Kelas 1: Saraan Peribadi YDPN: RM301,392.00 setahun (sebulan: RM25,116.00)

Kelas 2: Elaun Keraian YDPN: RM213,486.00 setahun (sebulan: RM17,790.50)

Kelas 2(A): Elaun Wilayah YDPN: RM62,790.00 setahun (sebulan: RM5,232.50)

Kelas 3: Gaji Kakitangan Istana Kinabalu: RM116,510.00 setahun

Kelas 4: Perbelanjaan Kakitangan Istana Tersebut: RM75,000.00 setahun

Semua bayaran bagi Kelas 1 hendaklah dibayar terus kepada YDPN, manakala bagi bayaran kelas-kelas lain dibayar kepada Setiausaha Sulit YDPN (Seksyen 2 EPDR). Kelas 3 dan Kelas 4 adalah untuk kegunaan Istana Seri Kinabalu dan seharusnya bukan untuk perbelanjaan peribadi YDPN, maka ia tidak dikira dalam konteks pendapatan YDPN.

Mengambil kira semua yang di atas, YDPN Sabah menerima saraan dan elaun sebanyak RM48,139.00 sebulan. 

Jumlah ini tidak termasuk kemudahan, manfaat dan keistimewaan lain yang bersesuaian dengan kedudukannya sebagai TYT YDPN, contohnya elaun menghadiri acara rasmi kerajaan, kemudahan kenderaan, petrol, air, elektrik, telefon, tambang kapal terbang, percutian dan sebagainya.

Wallahu a'lam.


Insya Allah selepas ini kita berbicara soal gaji dan pendapatan bulanan Ketua Menteri, Menteri-Menteri dan ADUN Sabah pula.


Penafian: Posting ini tidak bertujuan untuk merendahkan atau menghina institusi YDPN Sabah. Ia adalah berdasarkan kepada maklumat terbuka yang terkandung dalam undang-undang Negeri Sabah sendiri. Sekiranya ada kesilapan, bolehlah emelkan kepada admin kesilapan tersebut.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN

PROSIDING GARNISI