ADA REKOD KLINIK TAPI GAGAL ENDOS MAHKAMAH?

Assalamualaikum,

Saya menerima keluhan perasaan dari seorang kenalan mengatakan anak beliau gagal dalam 'temuduga endos' daftar lewat sijil kelahiran di Mahkamah Majistret. Dia amat kecewa kerana katanya 'dokumen semua lengkap, rekod klinik pun semua ada' tapi masih gagal.

"Entah apa juga Mahkamah mahu", katanya.

Sahabat,

Sebenarnya rekod klinik lengkap sekalipun bukan jaminan untuk lulus endosmen. 

Kena faham bahawa Mahkamah menjalankan inquiry iaitu siasatan kehakiman, bukan sekadar hanya menjalankan 'temuduga'. Sebab itu sebelum anda berikan keterangan di depan Majistret, anda akan diminta untuk mengangkat sumpah untuk menyatakan semua yang benar, tiada yang tidak benar melainkan yang benar belaka.

Betul? *sahabat saya mengangguk*

Kad klinik ibu dan anak, walaupun lengkap, tetapi ia hanya sebahagian saja kriteria yang dilihat oleh Mahkamah.

Dalam menjalankan siasatannya, Mahkamah akan melihat kepada semua fakta yang dinyatakan di dalam sijil lahir daftar lewat itu. Salah satunya ialah butir kelahiran, maka bagi menyokong fakta kelahiran ini, rekod klinik adalah amat penting.

Sumber gambar di SINI
 

Rekod klinik ini merujuk kepada rekod antenatal (rekod ibu berklinik) dan rekod kesihatan dan perkembangan kanak-kanak (rekod anak berklinik). Jika ada kedua-duanya amatlah bagus. Jika ada salah satunya juga akan dipertimbangkan. Jika tiada kedua-duanya, samada hilang, terbakar atau memang tidak ada berklinik langsung, biasanya pemohon akan buat akuan bersumpah menyatakan kedudukan yang sebenar. Semua ini akan dikemukakan kepada Mahkamah untuk pertimbangan semasa inkuiri dijalankan.

Sumber gambar di SINI
 

Saya pernah diberitahu oleh rakan saya di Mahkamah yang memberikan maklumat bahawa terdapat juga pemohon yang terlibat dengan 'pembelian' rekod klinik ini. Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran cerita ini tetapi tidak mustahil ia berlaku bagi memastikan syarat yang dikenakan oleh Mahkamah itu dipenuhi oleh pemohon asalkan sijil lahir anaknya dapat diendoskan. Jadi, Mahkamah perlu berhati-hati dan meneliti dokumen yang dikemukakan dengan sebaik mungkin agar sebarang penipuan atau pemalsuan dokumen dapat dielakkan.

Selain itu, Mahkamah juga akan menyiasat latar belakang ibu dan bapa seperti yang dinyatakan di dalam sijil lahir tersebut serta taraf kewarganegaraan mereka. Sebab itulah rekod perkahwinan juga adalah amat penting. Jika tiada sijil nikah, pun kebiasaannya pemohon akan buat akuan bersumpah menyatakan kedudukan yang sebenar, contohnya berkahwin kampung, kahwin lari, jurunikah tidak bertauliah dan sebagainya.

Akhir sekali Mahkamah juga ingin mengetahui apa sebab anda lewat mendaftarkan sijil kelahiran anak anda. Perlu diingat anda mempunyai tempoh masa selama 42 hari untuk mendaftarkan sijil kelahiran anak, iaitu masuk hari ke 43 dan seterusnya barulah pendaftaran itu dikira daftar lewat. Jadi Mahkamah juga perlu tahu apa sebab anak daftar lewat. 

Ini kerana ada yang mengambil masa 15 tahun sebelum mendaftarkan sijil lahir anak. Bila ditanya, rupanya ada yang mengatakan (secara jujur) bahawa anak mereka selepas lahir tinggal di negara jiran dan bila sudah besar, sebab mahu buat IC barulah balik ke Malaysia melalui jalan tikus!

Endosmen sijil lahir ini adalah langkah 'tapisan' sebelum seseorang itu boleh membuat kad pengenalan atau IC atau juga dikenali sebagai MyKad. Jadi, sebagai seorang warganegara Malaysia yang cintakan negara, adakah kita sanggup untuk menggadai taraf kewarganegaraan kepada orang yang sememangnya tidak layak?

Kalau layak sekalipun atau seseorang yang sememangnya warganegara Malaysia tetapi gagal endosmen sijil lahir, masih ada ruang lain yang boleh ditelusuri, seperti permohonan taraf warganegara, permohonan kewarganegaraan atau memohon deklarasi dan perintah Mahkamah.

Endosmen sijil lahir bukanlah satu-satunya jalan untuk mendapat kad pengenalan. Ada 2-3 cara yang sah dan secara 'legal' lagi, kawan. Pokoknya, rajin atau malas berurusan saja. Malah, situasi yang sebenarnya juga ialah lulus endosmen sekalipun bukanlah melayakkan seseorang mendapat taraf warganegara Malaysia secara automatik.

Wassalam.

Ulasan

  1. Satu penulisan yang menarik. Terlalu banyak isu ini diketengahkan kononnya negara ini tidak memberi keadilan yang sewajarnya. Walhal, proses yang disediakan adalah demi mendapatkan pengesahan yang tidak mudah diseleweng.

    Jemput juga melawat blog kami di http://smartacademic.my/. terima kasih.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

JAMINAN MAHKAMAH vs DENDA MAHKAMAH

PROSIDING GARNISI

ETIKA KE MAHKAMAH: KETRAMPILAN